Wednesday, May 1, 2013

Kapal Korek Bijih Timah Terakhir

Perak. - Pernahkah anda mendengar atau membaca mengenai KAPAL KOREK BIJI TIMAH. Mungkin anda pernah, tetapi pernahkah melihatnya sendiri? 

Bagi PAPA PANDA yang sememangnya anak kelahiran perak, dan dikelilingi dengan kawasan lombong bijih timah, bukan sekadar melihat, malah pernah naik ke dalam kapal tersebut semasa ia masih belayar lagi. Semasa kecil, Bapa kepada Papa Panda adalah salah seorang pekerja di dalam KAPAL KOREK terbabit. Setiap kapal korek dinamakan dengan nombor. KAPAL 1, KAPAL 2 dan seterusnya. Pemilik kapal korek terbabit tidaklah Papa Panda ketahui. 

Gaji yang diperolehi oleh bapa pada tahun itu adalah sekitar RM500. Tetapi pada tahun 1980-an (Papa Panda darjah 1 pada tahun 1986) gaji begitu boleh dikatakan tinggi. Mana tidaknya semasa itu jika dapat bonus RM1000 cukup besar rasanya. Jika ada RM10.00 beli mercun bunga api boleh dapat satu plastik besar.

Berikut adalah butir - butir maklumat mengenai kapal korek yang disalin dari

Lebih kurang 4 km menghala ke Tanjung Tualang terdapat sebuah kapal korek yang masih dikekalkan dalam keadaan sebenar dibuka untuk dilawati oleh sesiapa sahaja yang berminat mengenainya. Tanjung Tualang adalah merupakan sebuah bandar yang terletak di dalam pentadbiran daerah Kinta (Kinta Barat) Batu Gajah, Perak. Ditempatkan pada kedudukan 4° 19' 0" Utara dan 101° 4' 0" Timur, bandar-bandar yang paling hampir dengannya ialah Batu Gajah, Kampung Gajah, Tronoh, Tronoh Mines, Malim Nawar, Gopeng dan Kampar.
Tanjung Tualang amat dikenali pada satu masa dahulu kerana mempunyai beberapa buah lombong bijih timah yang beroperasi dengan skala besar.
Antara syarikat-syarikat antarabangsa dan multinasional yang pernah bertapak dan beroperasi di Tanjung Tualang ialah Lower Perak Tin Dredging, Southern Kinta Consolidated, Southern Malayan Tin Dredging, Austral Amalgamated Tin, Osborne & Chapple, dan Pernas Chartered Management. Paling utama yang menonjolkan Tanjung Tualang ialah dengan terdapatnya beberapa buah Kapal Korek Bijih Timah yang terbesar didunia. Sekitar tahun 70'an ada terdapat lima buah Kapal di Tanjung Tualang.
Pada masa sekarang ini anda masih boleh mengunjungi kesan tinggalan kapal korek ini yang masih terdapat di Batu 5, Jalan Tanjung Tualang, 31000 Batu Gajah. Tinggalan ini adalah dibawah kawalselia Jabatan Antikuiti dan Muzium Perak Darul Ridzuan. Walaupun anda tidak dibenarkan menaiki tinggalan kapal korek ini, namun anda boleh mengambil gambar foto untuk kenang-kenangan anda tanpa sekatan.
Keluasan Kapal Korek : Lebar 35 meter, Panjang 75 meter
Ketinggian : 5 Tingkat
Berat : 4500 Tan
Bilangan Pekerja seramai 90 orang dan hanya 30 orang yang boleh bekerja dalam satu shift.
Tahun Operasi : 1938 hingga 1992
Kos pembinaan mencecah RM 30 Juta
Bermula beroperasi di Malim Nawar dan perhentian terakhir Batu 6, Jln Tg. Tualang.
Masa Lawatan :
8.00 Pagi hingga 6.00 petang setiap hari

Harga Tiket : 
Dewasa : RM 5.00
Kanak-kanak : RM 3.00

Untuk maklumat lanjut sila hubungi

Century Mission Sdn. Bhd
5th Mile, Jalan Tanjong Tualang,
31000 Batu Gajah,
Perak Darul Ridzuan.
Tel/Fax: 05-370 2253
Email : tt5dredge@yahoo.com

Papan Tanda Sebelum masuk ke kawasan kapal korek.
Ketika Papa Panda melawat ke sana, kapal korek tersebut dalam proses penyelenggaraan dan terdapat beberapa kawasan yang tidak dibenarkan masuk. Papa Panda pernah masuk ke dalam kapal yang masih berada di atas lombong, manakala kapal yang berada di sini sudah dinaikkan ke darat dan kabel yang menjadi penggerak kapal sudah tiada lagi, jadi beberapa item asli pada kapal ini sudah tiada. Secara tak lansung Papa Panda menjadi pemandu pelancong menerangkan bahagian kapal kepada isteri dan rakan yang turut serta. 
Papan Tanda di Pintu Masuk Utama, Sebelum Tiket Dibayar.




Pemandangan Luar bahagian hadapan - sisi kapal korek. 


Bahagian depan kapal korek.
Kelihatan bucket yang berfungsi sebagai penyedok (macam skop ais krim), pasir bercampur bijih timah akan diangkat ke bahagian atas kapal untuk diproses. bucket ini bersambung sambung seperti rantai. Mengikut kata Ayah Papa Panda, rantai bucket ini boleh putus, Jika putus, semua bucket akan jatuh ke dalam air, sama macam rantai motor yang jika putus akan melurut ke atas jalan raya. Penyelam akan ditugaskan masuk ke dalam air bawa kabel rantai dan cangkuk kepada bucket. Selepas itu, dinaikkan semula ke lengan bucket terbabit. kemudian akan disambungkan semula. Papa Panda sendiri dapat melihat spare bucket di atas kapal yang mana disediakan sebagai alat gantian jika bucket pecah atau putus. Tetapi di atas kapal musium ini sudah tiada.


Turut kelihatan Set Generator untuk kerja welding pembaikan. Ini bukan barang dari kapal yer.

Pintu masuk ke kapal. Mujurlah sekarang sudah boleh masuk. Jika hanya melihat dari luar sahaja, mesti boring.

Ini pula adalah tandas. he he.. tandas ini memang tak ada penakung dia. bahan buangan akan terus ke atas air lombong, jadi faham faham sendiri lah jika ada masalah perut. Mesti kena bahan oleh kawan kawan yang berdekatan atau sedang menunggu giliran... ha ha.




Lubang ini dalam proses ditutup, ada banyak lubang seperti ini asalnya. tetapi tinggal beberapa sahaja di atas kapal ini. Tak pastilah sama ada akan ditutup atau dibiarkan sebagai pameran juga.



Emph.. Bersihnya lantai, jika tidak banyak kabel melintang di sana sini. Nak tunjuk pun benda dah tiada. Kabel tu digunakan oleh kapal untuk bergerak. Jika masih di atas lombong yang asal, kabel akan ditambat ke atas daratan. Jika tidak silap Papa Panda ada 6 point kabel itu ditambat di atas darat. Sekarang sudah jadi musium, kabel tak perlu lagi, air yang ada disekeliling kapal ni pun cetek sahaja, dasar kapal ini sudah di atas tanah. jika tidak ditarik ke atas darat seperti ini, kapal ini akan berbunyi berdenting - denting ketika angin kuat. Bunyi tu datangnya dari kabel yang menegang akibat kapal bergerak ditiup angin. Papa Panda masih ingat lagi, semasa Papa Panda menggantikan shift Bapa Papa Panda kerana kakak kahwin dan tiada pengganti untuk tunggu kapal. Semasa itu angin kuat, dan Papa Panda lihat kapal macam nak senget, kabel yang terbenam di dalam air dah naik ke atas sampaikan pelampung yang diperbuat dari besi yang pegang kabel tu pun boleh ternaik.  Jadi Papa Panda sudah sedia dengan pelampung dan pilih lokasi yang senang nak terjun selamatkan diri jika kapal hanyut atau terbalik. 


Ini adalah bahagian asal kapal. Ragum yang dipegang oleh Isteri Papa Panda itu pun yang original. Papa Panda tahu sebab ... macam yang diceritakan tadi.. pernah jadi jaga kapal. Ini adalah bahagian untuk kerja kerja penyelenggaraan dan baikpulih.

Sampai situ sahaja cerita Papa Panda pasal kapal korek, Jika nak tau lebih, kena la datang sendiri ke perak. Tiket harga terakhir Papa Panda pergi adalah RM6.00 satu kepala.


By : PAPA PANDA
Photo : PAPA PANDA
Camera : Samsung Tab 7 Plus.

No comments:

Post a Comment